Haji
HAJI
Ibadah Haji mengikut kebiasaan sebutan orang adalah ‘haji
besar’ dan ibadah Umrah pula disebut ‘haji kecil’. Musim
Haji bermula daripada 1 Syawal hingga 10 Zulhijjah (hari raya
puasa hingga hari raya haji), manakala Umrah boleh dilakukan pada bila-bila
masa termasuk di luar musim haji. Dari segi syarak pula ianya adalah mengunjungi
Baitullahil Haram di Mekah untuk mengerjakan ibadat-ibadat yang
tertentu di sana.
.
Menunaikan Haji
Menunaikan haji adalah rukun Islam kelima dan ia
dikerjakan hanya di sekitar tanah suci Mekah serta masanya hanya dari 9 hingga
13 Zulhijah. Haji menurut syarak adalah mengunjungi Baitullah (Rumah
Allah) di Mekah untuk beribadat ‘manasik’ (tawaf, saie,
bergunting) dan wukuf pada waktu serta syarat-syarat tertentu dalam bulan
Zulhijah.
.
Firman Allah SWT: “Dan
Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi
Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa untuk sampai ke sana. Dan
sesiapa yang kufur (ingkar kewajipan haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha
Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.” (Surah
Al-Imran, ayat 97)
.
Ibadat haji hanya diwajibkan kepada Muslim yang berkemampuan
dari segi kewangan, kesihatan fizikal dan juga mental. Allah membuka ruang dan
memudahkan semua hamba-Nya menziarahi, mendekatkan diri dan bermunajat
kepada-Nya serta memohon limpah Rahmat-Nya dan Hidayah-Nya. Ibadat haji adalah
satu-satunya peluang keemasan untuk kita mengadap Allah secara lebih dekat.
.
Firman Allah dalam surah al-Hajj: “Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka
akan datang kepada-Mu dengan berjalan kaki, atau mengenderai setiap unta yang
kurus, mereka datang dari segenap penjuru yang jauh agar mereka menyaksikan
berbagai-bagai manfaat untuk mereka dan agar mereka menyebut nama Allah pada
beberapa hari (hari raya haji dan tasyrik) yang telah ditentukan.”
.
Pemergian ke kota Makkah atau Arafah bukan semata-mata
perjalanan jasad, tetapi perjalanan ‘rabbani’ iaitu perjalanan
berserta ketulusan hati dan rohani ke arah menemui Allah SWT serta mengeratkan
jalinan hubungan antara Allah sebagai Khalik (Pencipta) yang menjadikan alam
sebagai makhluk-Nya dan manusia sebagai khalifah-Nya.
Firman Allah SWT.: “Dan
sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.” (Surah
al-Baqarah, ayat 196).
.
Haji dan Umrah, kedua-duanya hanya wajib sekali saja
seumur hidup dan sunat dikerjakan berulang-ulang kali. Perbezaan jelas
antara kedua-duanya ialah haji hanya boleh dikerjakan dalam bulan haji iaitu
mulai 1 Syawal hingga naik fajar hari 10 Zulhijah.
.
Allah menyediakan ganjaran cukup besar bagi
sesiapa yang mengerjakan umrah dan haji pada bulan ini. Rasulullah SAW
bersabda: “Daripada satu umrah ke umrah berikutnya
adalah penghapus semua kesalahan serta dosa yang berlaku antara keduanya. Haji
yang mabrur (yang dilakukan dengan ikhlas dan sempurna) itu tidak ada
ganjarannya yang setimpal melainkan syurga.” (Hadis riwayat Bukhari
dan Muslim).
.
.
Niat Haji dan Umrah
1.
Niat mengerjakan Haji:
نَوَيْتُ الْحَجَّ وَأَحْرَمْتُ بِهِ
لِلَّهِ تَعَاَلَى
Daku mengerjakan Haji dan berihram
dengannya kerana Allah Ta’ala.
2.
Niat mengerjakan Umrah:
نَوَيْتُ الْعُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ
بِهَا لِلَّهِ تَعَاَلَى
Daku mengerjakan Umrah dan berihram
dengannya, kerana Allah Ta’ala.
3.
Niat mengerjakan Haji dan Umrah serentak (Haji Qiran):
نَوَيْتُ الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ
وَأَحْرَمْتُ بِـهِمَا لِلَّهِ تَعَاَلَى
Daku mengerjakan Haji dan Umrah serta
berihram dengan kedua-duanya, kerana Allah Ta’ala.
Komentar
Posting Komentar